IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-36 : BERBEKAM

 Utama / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-36 : BERBEKAM


IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-36 : BERBEKAM

SOALAN :

Adakah berbekam itu sunnah atau ia sekadar rawatan biasa yang berkaitan dengan hal keduniaan ?

JAWAPAN : 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk “al-Sunnah al-Nabawiyyah”, inilah jawapannya :

Di sana terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan berbekam, antaranya ialah:

• Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ
Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”. [Riwayat al-Bukhari, kitab jual beli, bab penjelesan tentang pembekam, no.Hadith 1960]

• Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
حجم النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عبدٌ لبني بياضةَ . فأعطاهُ النبيُّ أجرَه . وكلَّم سيدَه فخفَّفَ عنهُ من ضريبتِه . ولو كان سُحتًا لم يُعطِه النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم
Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya”. Jika berbekam ini adalah haram, tentu Nabi SAW tidak memberikannya upah. [Riwayat Muslim, kitab pengairan, bab halalnya upah kepada pembekam, no. Hadith: 2955]

• Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”. [Riwayat al-Tirmizi, kitab jual beli, bab rukhsah pembekam, no. Hadith 1199]

• Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:
احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 1987]

• Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
أن النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم احتجَم وهو مُحرِمٌ، واحتجَم وهو صائمٌ
Maksudnya: “ Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa”. [Riwayat al-Bukhari, kitab puasa, bab berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa, no. Hadith: 1802]

Ulasan ringkas berkaitan hadith-hadith berbekam
Jumhur ulama’ mengatakan dibolehkan mengambil upah untuk berbekam kerana larangan yang terdapat di dalam hadith adalah berbentuk makruh bukannya haram. Selain itu juga, berbekam tidak membatalkan puasa jika ia dilakukan ketika berpuasa berdasarkan hadith Ibn Abbas RA. Tambahan pula, berbekam juga merupakan sebaik-baik perubatan sepertimana yang diberitakan oleh Nabi SAW kepada kita tetapi perlu melihat pada penyakit yang sesuai untuk diubati dengan cara ini.

Hukum berbekam

Terdapat sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa ia adalah sunnah secaea mutlak. Iaitu sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran samada ia berhajat padanya ataupun tidak. Namun begitu, Dr. ijaj al-Khatib berpendapat bahawa berbekam adalah satu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan sedemikian. Jika orang yang sakit berbekam dengan pembekam yang berautoriti kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW maka perbuatan tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT tanpa syak lagi. Adapun bagi sesiapa yang tidak memerlukannya maka tidak akan mendapat pahala daripada Allah SWT melainkan melakukannya hanya sekali seumur hidup disebabkan beramal dengan hadith Nabi SAW yang sahih dan thabit seperti dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

Tarjih

Kami cenderung mengatakan sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Ijaj al-Khatib bahawa berbekam adalah salah satu daripada teknik atau cara perubatan yang diamalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi. Selain itu, kepada sesiapa yang berhajat padanya maka tidak menjadi masalah dan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Manakala kepada sesiapa yang tidak berhajat kepadanya maka tidak akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Ini kerana, di dalam hadith menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukannya apabila Baginda SAW perlu dan bukan setiap masa. Walapun begitu, setiap orang mempunyai keselesaan dalam perubatan. Maka dengan itu, setiap orang boleh membuat pilihannya sendiri selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’ dan Islam seperti bertemu bomoh dan perubatan yang berunsur khurafat. Islam sangat meraikan dan menitikberatkan soal keselesaan setiap penganutnya agar agama ini tidak dilihat sulit dan menyusahkan kerana ini bertentangan dengan ciri-ciri agama ini iaitu memudahakan.

Penutup

Semoga Allah SWT membantu kita dan memberi kekuataan kepada kita agar kita dapat melaksanakan sunnah-sunnah yang diajar dan ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Amin.

Wallahua’lam

Pusat Rawatan Bekam Sunnah Az-Zahra SUBANG Bestari

TEMPAHAN whatsapp ke 017-2378001 Jehan

‪#‎bekam‬ lelakiwanita ‪#‎AzZahraVco‬ Penawar 1001 Penyakit Gout, Resdung, Darah Tinggi, Diabetes, migrain